Noor Najhan.

ALOR SETAR – Pas Selangor mendakwa mempunyai potensi besar untuk menawan negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu sekiranya agenda satu lawan satu menjadi ketetapan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perwakilan Selangor, Noor Najhan Mohamad Salleh berkata, agenda satu lawan satu itu harus dilaksanakan seluruh negara susulan perpecahan ummah pada PRU14 menyaksikan kekalahan umat Islam dalam menentang PH.

Selain itu, perwakilan Pas Selangor turut meminta untuk mengikut jejak Kedah iaitu menggunakan logo Pas sendiri pada PRU15.

“Atas dasar pertahankan Perikatan Nasional dan perkasakan Muafakat Nasional, saya ingin bertanya kepada sidang perwakilan siapa musuh kita yang sebenar adakah Bersatu atau UMNO? Tetapi yang pastinya musuh utama kita adalah PH.

“Calon-calon PH mesti ditentang satu lawan satu kerana perpecahan politik dan kegagalan bermuafakat akan mengulangi kesilapan PRU14.

“Kekalahan itu memberi kesan yang buruk buat perpaduan ummah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam usul terima kasih dan perbahasan Ucapan Dasar Presiden sempena Muktamar Tahunan Pas ke-68 hari ini. – MalaysiaGazette