Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Inisiatif Perantisiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 03 SEPTEMBER 2022.

SHAH ALAM – Peraturan UMNO pada tahun 2009 menetapkan ahli yang berhadapan dengan kes mahkamah digantung sudah tidak dikuatkuasakan.

Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkembangan mengenai peraturan tersebut hanya boleh diulas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.

Mesti dirujuk kepada mereka yang duduk dalam Majlis Tertinggi dan pengurusan parti. Seingat saya ada keputusan itu pada 2009 di peringkat MKT (Majlis Kerja Tertinggi) tapi setakat saya perhati sudah lama tidak dipakai.

“Apa kedudukan sebenar itu patut dijawab oleh mereka yang ada local standard untuk menjawabnya,” katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Annuar menambah, sehingga kini tidak ada pindaan dibuat berhubung ketetapan berkenaan.

“Setakat ini tidak ada pindaan lagi. Saya percaya penjawat jawatan sekarang mempunyai wibawa sendiri untuk menentukan dasar-dasar semasa perlembagaan parti, hal ini menjadi tanggungjawab Majlis Tertinggi UMNO jadi saya tidak boleh kata ya atau tidak betul atau salah sebab saya tiada kuasa hanya bekas SUA,” katanya.

Beliau berkata, mana-mana Perhimpunan Agung UMNO sehingga kini tidak ada menetapkan bahawa individu yang berhadapan dengan kes mahkamah tidak dibolehkan untuk bertanding pada pilihan raya seperti cadangan Dewan Ulamak Pas ketika Muktamar parti berkenaan baru-baru ini. – MalaysiaGazette