Mahadi (dua dari kanan) bersalaman dengan media pada pada Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2022 yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaafkan tindakan pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2022 memijak pokok hiasan yang ditanam di tepi jalan serta pembahagi jalan sehingga rosak.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, meskipun kesal dengan tindakan itu namun, pihaknya memahami keterujaan pengunjung untuk menyaksikan sambutan yang sudah dua tahun tidak diadakan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, beliau sendiri tidak menyangka kehadiran pengunjung yang begitu ramai pada hari tersebut dan sudah pasti berlaku situasi himpit menghimpit hingga menyebabkan kesukaran untuk bergerak.

“Tak mengapalah…kita maafkanlah mereka. Lagipun mereka itu teruja nak datang lihat pertunjukkan pada sambutan hari kemeredekaan kali ini.

“Pokok-pokok yang rosak itu pun kita beli hasil perolehan daripada cukai-cukai yang dibayar oleh mereka juga.

“Kita tidak pernah jangka begitu ramai jumlah pengunjung jadi perkara yang berlaku ini jadi pengajaran dan DBKL akan cuba cari penyelesaian baharu dalam mesyuarat ‘post mortem’ untuk lihat semula segala aspek,” katanya ketika ditemui pada Malam Penghargaan Media Kuala Lumpur 2022, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, media melaporkan DBKL menzahirkan kekesalan melalui satu hantaran di Facebook apabila memuat naik satu rakaman video dan beberapa gambar menunjukkan kerosakan yang berlaku pada pokok hiasan kesan dipijak orang ramai.

Perkara itu mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan netizen dengan ada di antara mereka kesal dengan tindakan orang ramai yang tidak berdisiplin dan tidak menghargai landskap yang terdapat di situ.

Bagaimanapun, rata-rata netizen menegur bahawa kejadian itu tidak dapat dielakkan kerana ramai pengunjung perlu melalui Jalan Tun Perak di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek yang ditutup daripada kenderaan dan dijadikan tempat parkir kenderaan VIP dan VVIP yang hadir ke acara sambutan kemerdekaan.

Laluan itu yang dipenuhi kenderaan yang diparkir menyebabkan ribuan pengunjung terpaksa bersesak dan berhimpit ketika melalui jalan itu kerana masing-masing mahu mengambil peluang menonton acara perbarisan yang diadakan di Dataran Merdeka.

Dalam pada itu Mahadi berkata, keterujaan orang ramai untuk hadir menyaksikan pertunjukkan sambutan Hari Kebangasaan 2022 dapat dilihat apabila ada dalam kalangan mereka sudah menunggu sejak pukul 2.30 pagi.

Katanya, ketika itu petugas DBKL dalam persiapan akhir menyelia kawasan sekitar tempat berlangsung acara sebelum menjelang pagi.

Tambahnya, beliau kagum dengan semangat patriotik yang ditunjukkan dan ia sepatutnya ditanam dalam diri setiap orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast