PUTRAJAYA – Pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen) yang didakwa diherdik membabitkan seorang pegawai tinggi kerajaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lepas selesai memberikan keterangan kepada jawatankuasa siasatan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, beliau dimaklumkan setakat ini pihaknya sudah memberikan maklumat tambahan yang diminta oleh jawatankuasa itu bagi membantu siasatan.
“Tidak banyak komen boleh saya berikan berkaitan isu ini, cuma saya boleh maklumkan pegawai-pegawai saya sudah selesai berikan keterangan kepada mereka (jawatankuasa siasatan) dan maklumat tambahan yang diminta oleh jawatankuasa juga sudah kami bekalkan.
“Saya hanya maklum kepada anda ini sahaja, selebihnya saya tiada maklumat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Immigration Run di sini pagi tadi.
Untuk makluman, pada 3 Ogos lepas, sekitar 8.40 pagi hingga 9.40 pagi, insiden ‘diherdik’ dipercayai berpunca daripada ketiadaan pegawai JIM di kaunter Bilik Orang Kenamaan (VIP), Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sepatutnya bertugas 24 jam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Imigresen di KLIA.
Insiden itu menyebabkan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) mengeluarkan kenyataan mengutuk kejadian itu sebelum Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertindak sama dan menafikan tuduhan Mohd Shafiq mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai terbabit.
JPA menjelaskan, Mohd Shafiq hanya membuat teguran terhadap imigresen khususnya Ketua Penolong Penguasa Imigresen, James Lee berhubung ketidakpatuhan amalan dan prosedur.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali kemudian telah bertindak mengumumkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilantik mengetuai Jawatankuasa Siasatan bagi menyiasat insiden membabitkan KPPA dan pegawai kanan imigresen di KLIA itu.
Selain Idrus, anggota jawatankuasa terbabit terdiri daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Pelantikan itu selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob dalam mesyuarat Kabinet. – MalaysiaGazette