Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin

ALOR SETAR – “Kalau betul RM6 bilion diseleweng untuk projek kapal, bagi Perlis, empat tahun kami boleh goyang kaki.”

Demikan tegas Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan penyelewengan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) bagi kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu tidak sepatutnya berlaku.

“Rakyat Perlis hampir 300,000 semua goyang kaki boleh belanja duit itu tak habis dan kalau betullah berlaku (penyelewengan projek LCS) saya amat sedih,” katanya.

Beliau ketika berucap pada penggulungan Muktamar Tahunan Pas Ke-68 di Komplekas Pas Kedah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, isu penyelewengan, songlap serta rasuah perlu diberi keutamaan oleh pemimpin Pas untuk menerajui masa depan negara.

Kata beliau, Pas harus membentuk pemimpin beramanah dan bebas rasuah dan ditonjolkan menerusi tiga negeri yang diperintah parti itu.

“Kalau dulu kita kena beri keutamaan pada perpecahan masyarakat tapi tahun 2022 ke atas kena beri keutamaan isu rasuah, penyelewengan.

“Ingat kita tak habis bicara di dunia walaupun tiga mahkamah kita lalui. Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan mungkin kita boleh lepas tapi mahkamah terakhir hakim sudah tau, tunggu dah tak perlu peguam,” jelasnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam kapal LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd bagi projek runding terus itu namun tiada kapal diterima setakat ini.- MalaysiaGazette