Kelihatan kenderaan Jabatan Penjara yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berada di pekarangan Hospital yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun, dimasukkan ke Hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM 04 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilapor telah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan baru-baru ini.

Memetik laporan FMT, perkara itu disahkan oleh seorang pegawainya hari ini.

“Beliau masih menjalani pemeriksaan perubatan. Beliau dikatakan mengalami kesakitan,” katanya.

Terdahulu, Astro Awani melaporkan Ahli Parlimen Pekan itu berada dalam keadaan stabil.

Najib dimasukkan ke Penjara Kajang sejak 23 Ogos lalu setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dalam rayuan akhir kes SRC International. – MalaysiaGazette