PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berharap diberikan ‘bonus’ ketika pengumuman Bajet 2023 ini selepas pihaknya akan menyumbang lebih RM4 bilion kepada hasil negara menjelang akhir tahun.
Ini juga dikatakan antara jumlah yang cukup memberangsangkan selepas keadaan pandemik Covid-19 sejak dua tahun sebelum ini.
Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, hasil itu termasuklah pelbagai perkhidmatan yang dikendalikan agensi penguatkuasaan itu terutamanya kutipan levi pekerja asing membabitkan 1.35 juta pekerja asing.
Jelas Khairul Dzaimee, itu termasuklah pembaharuan pas lawatan pekerja, kemasukan pekerja asing baharu, pasport dan kompaun ke atas mereka yang melanggar peraturan.
“Kita sudah capai sasaran kutipan tahanan sebanyak RM3.5 bilion setakat 30 Ogos lepas, kutipan selepas ini sehingga akhir tahun ini pastinya boleh membuahkan hasil dan ini adalah bonus kepada pendapatan negara.
“Kita biasa kutip hasil setiap tahun sekitar RM3.5 hingga RM4.5 bilion setahun yang dicapai sebelum pandemik Covid-19. Namun kutipan hasil bagi tempoh Januari hingga Ogos 2021 hanya sekitar RM2.5 bilion. Ini amat baik sekali.
“Saya harap Kementerian Kewangan akan mengumumkan bonus kepada jabatan ini dalam Bajet 2023 nanti,” katanya ketika ditemui selepas program Larian Imigresen 2022 di sini hari ini.
Pagi ini di hadapan Ibupejabat JIM di sini hampir 3,000 peserta menyertai Larian Imigresen 2022 terdiri daripada pegawai imigresen, orang awam dan warga asing yang terdiri daripada pelajar, pekerja asing dan ekspatriat.
Khairul Dzaimee turut menyertai larian itu yang berjaya menamatkan larian bagi kategori 15 kilometer.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya dapat mengutip sehingga RM4 bilion selepas pengumuman Program Visa Premium (PVIP) yang bakal dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober depan.
Katanya lagi, JIM secara signifikan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara khususnya untuk kembali pulih selepas pandemik Covid-19.
“Untuk makluman, jumlah kemasukan pelancong asing, pakar asing atau ekspatriat ke negara ini amat kita perlukan untuk pembangunan semula ekonomi negara,” ujarnya. -MalaysiaGazette