Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Media sukan antarabangsa, BBC Sports mencadangkan agar saingan Liga Malaysia menggunakan khidmat Video Assistance Referee (VAR) pada perlawanan akan datang.

Cadangan ini muncul selepas portal sukan itu memuat naik insiden yang melibatkan pemain pertahanan import Selangor FC, Yazan Al Arab dan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman apabila kedua pasukan bertemu dalam saingan Liga Super di Petaling Jaya pada Sabtu lalu.

Pada separuh masa pertama, JDT diberikan sepakan penalti oleh pengadil, Zulkarnain Zakaria selepas Arif dijatuhkan oleh Yazan.

Namun peminat bola sepak berpendapat kekasaran yang dilakukan oleh Yazan adalah normal dan tidak sepatutnya sepakan penalti diberikan.

Insiden melibatkan pengadil bagaikan acara tahunan dalam saingan liga domestik negara yang mana setiap musim terdapat beberapa kejadian yang mengakibatkan ramai pihak mempersoalkan keputusan pengadil.

Meskipun gesaan untuk menggunakan khidmat VAR sudah disuarakan sejak beberapa musim kebelakangan ini, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan yang diambil oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan masalah ini.

Satu lagi insiden yang berlaku pada Sabtu lalu melibatkan penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim dengan pemain Melaka United, Harith Naem yang mana Harith mengasari Rahadi sehingga menyebabkan penjaga gol itu mengalami kecederaan serius di kepala dan segera dikejarkan ke hospital.

Pengadil perlawanan, Nafeez Wahab tidak memberikan sebarang hukuman kepada Harith di atas terjahan berbahaya yang dilakukan sehingga menyebabkan Rahadi mengalami kecederaan serius di kepala. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast