Tertuduh mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan menyebabkan kematian terhadap kekasihnya pada 31 Ogos lalu.

JOHOR BAHRU – Seorang pemandu e-hailing didakwa menikam teman wanitanya menggunakan sebilah pisau dan mencederakan mangsa dengan sengaja sehingga menyebabkan kematian seorang akauntan berusia 34 tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohamad Noor Faiz Md Hairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan dibaca dihadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan Mohamad Noor  pada 31 Ogos lalu di Taman Sierra Perdana Masai pukul 12.57 tengah hari.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan tertuduh didakwa menikam menggunakan sebilah pisau  dan menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 dan 326 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan pendakwa raya Noor Idayu Salim.

Mahkamah mengarahkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Sementara itu tertuduh dalam rayuannya meminta supaya jumlah denda dikurangkan atas alasan mempunyai empat beradik yang perlu ditanggungnya selain hanya bekerja sebagai pemandu e-hailing.

Bagaimanapun tertuduh diberi syarat tambahan yang mana beliau perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran termasuk perlu menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh juga dilarang mengganggu atau berkomunikasi dengan mana-mana saksi pendakwaan hingga kes selesai.

Hakim seterusnya menetapkan sebutan semula kes pada 6 November ini bagi lantikan urusan peguam dan serahan dokumen.

Mahkamah membenarkan ikan jamin  RM20,000 bagi kedua-dua kesalahan dengan seorang penjamin. – MalaysiaGazette