Arsenal merekodkan kekalahan pertama musim ini dalam EPL kepada man United di Old Trafford dalam aksi sengit tengah malam tadi. Foto Kredit agensi.

LONDON – Perjalanan rekod tanpa kalah Arsenal dalam lima perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini berkecai ketika temasya sukan itu melabuhkan tirai di Stadium Old Trafford malam tadi.

Skuad the Gunners kendalian Mikel Arteta yang bertandang ke Theatre of Dreams dengan rekod 100 peratus menang mengungguli takhta liga setakat semalam disekat Manchester United dengan kecundang 3-1 dalam aksi penuh dramatik itu.

Bintang muda baharu the Red Devils kendalian Erik ten Hag Anthony Santos bernilai £82 juta itu berjaya menggamat penonton di stadium penuh itu menerusi jaringan pembukaan pada minit ke-35 sepasuh masa pertama.

Rembatan kaki kiri dari penjuru kanan gawang lawan menerusi hantaran cantik dari rakan penyerangnya Marcos Rashford berjaya meletakkan tuan rumah di hadapan sebelum perlawanan separuh masa pertama berakhir dengan memihak kepada tuan rumah.

Pada awal separuh masa pertama sebelum tuan rumah membuka jaringannya, pasukan pelawat membuat kejutan apabila menjaringkan gol awal menerusi Gabriel Martinelli yang kemudian telah dinafikan oleh Sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana Christian Eriksen telah dijatuhkan oleh pemain Arsenal.

Bagaimanapun Arteta berjaya menyusun strategi serangannya disebalik kekecewaan itu sebelum bangkit menyamakan kedudukan terikat 1-1 menerusi Bukayo Saka pada minit ke-60.

Namun, taktik dan corak permainan berintensiti tinggi yang diterapkan ten Hag terhadap anak buahnya ternyata membawa hasil pantas apabila Rashford berjaya kembali meletakkan pasukannya di hadapan menerusi gol kedua pada minit ke-66.

Rashford yang dikritik hebat oleh penyokong sejak awal musim ini kerana beberapa kelekaan dalam menjaringkan gol berjaya membuktikan kemampuannya apabila merembat bola hantaran Bruno Fernandes ke dalam gawang gol lawan.

Walaupun pasukan pelawat menguasai 60 peratus perlawanan di atas padang di separuh masa kedua itu, beberapa pergerakan bahaya oleh anak buah ten Hag selepas Cristiano Ronaldo dimasukkan dalam skuad menyukarkan lawan untuk bangkit semula mencari gol penyamaan.

Bek pertahanan the Red Devils yang kebal dibarisi Rafael Varane, Martinez, Malacia dan Diago Dalot ternyata memberi masalah kepada jentera serangan Arsenal untuk menembusi gawang gol mereka.

Manchester United terus mengatur serangan disusuli beberapa percubaan tepat di gawang lawan sebelum hasil hantaran cantik Christian Eriksen berjaya dimanfaatkan sepenuhnya Rashford yang akhirnya membuka gol ketiga dan juga kemenangan untuk pasukannya sebelum keputusan muktamad 3-1 memihak kepada tuan rumah.

Dengan kemenangan keempat berturut-turut itu, skuad ten Hag menghuni tangga kelima dalam carta liga dengan 12 mata menerusi enam perlawanan di belakang Manchester City, Tottenham Hotspurs dan Brighton.

Manakala Arsenal terus mengungguli carta liga dengan 15 mata dengan satu kekalahan malam tadi selepas mengharungi enam perlawanan setakat ini.

Pada 11 September ini, skuad ten Hag akan bertandang ke stadium Selhurst Park di London untuk berdepan Crystal Palace kendalian Patrice Viera.

“Kami tidak menang perlawanan itu kerana leka dari segi displimn di atas padang dan tidak cukup agresif di hadapan gawang gol lawan malam ini.

“Ini satu pengajaran besar untuk kami yang mana jika kamu mahu menang di sini (Old Trafford) kamu mestilah melakukan segalanya dengan betul dan tepat tanpa kesilapan,” keluh Arteta.

The Gunners masih dianggap pesaing gelaran EPL musim ini walaupun dengan kekalahan tersebut. – BBC Sport.com