Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini memaklumkan status Datuk Seri Najib Razak sebagai Ahli Parlimen Pekan masih kekal.

Yang di-Pertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, ia berdasarkan kepada permohonan yang dibuat pihaknya pada 2 September lalu.

“Memandangkan petisyen pengampunan telah difailkan Datuk Seri Najib Razak di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan pada 2 September 2022, iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan, maka kuat kuasa kehilangan kelayakan beliau sebagai ahli Parlimen hanya akan bermula sebaik sahaja petisyen pengampunan itu dibereskan (sekiranya petisyen itu ditolak).

“Ini bermakna status Najib sebagai Ali Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan apabila petisyen pengampuan itu dibereskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Azhar Azizan berkata, status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan akan berakhir esok.

Ini kerana Najib akan kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen Pekan secara automatik selepas 14 hari jika tiada sebarang prosedur mahkamah lain atau permohonan pengampunan diraja dibuat dalam tempoh berkenaan.

Dalam kenyataan dua muka surat itu, Azhar Azizan berkata, keputusan itu mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu menyebut mana-mana ahli Parlimen yang disabitkan atas kesalahan oleh mahkamah di Persekutuan dan dihukum penjara untuk tidak kurang dari setahun atau didenda sebanyak tidak kurang dari RM2,000 akan hilang kelayakan sebagai seorang ahli Parlimen.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib.

Beliau didapati bersalah atas kesalahan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan berakhir esok – Azhar