KUALA LUMPUR – Filem aksi Air Force The Movie: Selagi Bernyawa terus mencipta fenomena apabila merekodkan kutipan sebanyak RM20 juta selepas 11 hari tayangan di Malaysia.

Berita itu diumumkan melalui akaun Instagram (IG) rasmi penerbit filem aksi ketenteraan itu, Multimedia Entertainment hari ini.

“Terima kasih Malaysia! #AirForceTheMovie sudah cecah RM20 juta kutipan box office dalam 11 hari!

“Kami sangat terharu di atas sokongan kuat anda semua,” kata kenyataan itu.

Air Force The Movie : Selagi Bernyawa dipersembahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama lima syarikat penerbitan gergasi iaitu Golden Screen Cinemas (GSC), Astro, FXHammer Films, SixFun Media selain Multimedia Entertainment.

Filem ini mengisahkan Pasukan Khas Udara (Paskau) yang terkandas di Namburi selepas kapal terbang TUDM ditembak musuh.

Di Malaysia, pasukan TUDM mengadakan misi menyelamatkan mereka.

Filem ini menampilkan pelakon terkenal antaranya Datuk Adi Putra, Aiman Hakim Ridza, Nas-T, Sara Ali, Pablo Amirul, Johan As’ari dan Luqman Hafidz.

Turut beraksi Anas Ridzuan, Jack Tan, Iman Corinne, Scha Alyahya dan Carmen Soo.

Filem arahan Zulkarnain Azhar dan Frank See itu turut ditayangkan serentak di Singapura dan Brunei sejak 25 Ogos lalu. – MalaysiaGazette