PUTRAJAYA – Festival Bunga dan Taman Diraja Putrajaya 2022 (Floria Diraja) yang sepatutnya melabuhkan tirainya hari ini dilanjutkan sehingga 11 September.
Perkara tersebut diumum Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim pada majlis yang sepatutnya menjadi penutup festival berkenaan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat seiring dengan cuti sekolah yang sedang berlangsung sehingga Ahad ini.
Sementara itu, Shahidan mengumumkan festival itu dibuka secara percuma sepanjang lima hari.
“Floria Putrajaya akan terus menerima pelancong dalam dan luar negara. Mereka boleh bergembira, ini bukan kerana pilihan raya ya. Ini nak menghargai rakyat Malaysia.
“Kita akan pastikan program-program menarik diadakan termasuk cabutan bertuah. Semoga berita gembira ini akan menyeronokkan semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Anjung Floria hari ini.
Sementara itu Shahidan berkata, Floria Putrajaya menerima kunjungan 400,000 orang pelancong dalam dan luar negara selama sembilan hari penganjurannya.
“(Seramai) 400,000 pengunjung setakat ini. Jumlah ini luar biasa tapi sebagai menteri saya sentiasa tidak berpuas hati kerana saya ingin jumlah terbanyak kerana pelancong ramai menguntungkan kita,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan itu turut mengisytiharkan Bunga Raya sebagai bunga rasmi Putrajaya.
Floria Putrajaya yang bermula 29 Ogos sepatutnya berakhir pada 4 September lalu, namun penganjurannya ditambah dua hari sebelum dilanjutkan sekali lagi. – MalaysiaGazette