KUALA LUMPUR – Tiga suspek yang merancang untuk menyamun kedai emas di Bandar Manjalara, Kepong pada 4 September lalu gagal apabila ditumpaskan polis.
Tindakan pantas empat anggota polis yang berjaya mengesan kelibat suspek semasa rondaan cegah jenayah di kawasan tersebut membawa kepada penahanan kesemua suspek.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kejadian berlaku ketika empat anggota polis sedang membuat rondaan bagi mengesan kejadian pecah cermin kenderaan di kawasan terbabit.
Semasa terlibat dalam rondaan itu, anggota polis telah menemui dua suspek lelaki berusia 42 dan 43 tahun dalam keadaan mencurigakan di lokasi tersebut sebelum menahan mereka.
“Hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek warga tempatan itu berjaya membawa kepada penemuan dan rampasan dua pucuk pistol iaitu jenis semi auto beserta satu kelopak peluru berisi 4 butir peluru 9mm dan pistol Revolver Diamond Special Gold Horse berisi enam butir peluru.38 dalam kereta Proton Wira milik kedua-dua suspek itu.
“Hasil siasatan dan pemeriksaan lanjut polis berjaya merampas lapan peluru di dalam poket seluar salah seorang suspek berkenaan manakala 10 peluru lagi ditemui dalam gengaman seorang lagi suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Azmi, hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek itu sedang dalam perancangan merompak sebuah kedai emas di kawasan berhampiran.
Hasil siasatan seterusnya polis membuat satu serbuan pukul 1.15 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Klang Lama sebelum pemeriksaan berjaya membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan berusia 47 tahun.
Lelaki itu yang dipercayai dalang utama melakukan rompakan kedai emas bagi kumpulan itu di sekitar Lembah Klang selama ini.
“Pemeriksaan susulan polis di dalam rumah dalang utama itu menemui wang tunai berjumlah RM129,300 dan 39 paket barang kemas pelbagai yang dianggarkan bernilai RM175,000,” ujarnya..
Tegasnya, semakan yang dibuat polis mendapati dalang utama itu mempunyai lima rekod jenayah dengan tiga daripadanya membabitkan kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Malah salah seorang daripada dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara pula mempunyai satu rekod jenayah manakala seorang lagi rekodnya bersih.
Kedua-dua suspek yang ditahan di Bandar Manjalara direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 11 September ini manakala dalang utama turut direman tujuh hari bermula pagi ini sampai 12 September 2022 untuk membantu siasatan lanjut kes.
Kes berkenaan sedang disiasat polis di bawah Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1970.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan termasuk mengenal pasti pembabitan kes jenayah dilakukan ketiga-tiga suspek berkenaan serta dari mana mereka memperoleh senjata api itu.
“Kami juga amat berbangga dengan kejayaan empat anggota polis berkenaan yang berjaya mematahkan cubaan samun itu dan akan mengesyorkan kepada pucuk pimpinan supaya mereka diberi ganjaran atas kejayaan tangkapan dan rampasan tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette