Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim bercakap pada sidang media mengenai kes tangkapan dan rampasan senjata api di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis akan melakukan semakan terhadap pendedahan seorang pelakon remaja perempuan menerusi  YouTube yang mendakwa beliau diserang secara seksual.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya masih belum menerima laporan berkaitan dakwaan pelakon tersebut.

“Saya sendiri pun belum tengok video temu bual terbabit, saya tahu pun apabila diberitahu oleh pemberita.

“Namun begitu, kita akan semak dan teliti video tersebut, jika ada sebarang elemen-elemen jenayah kita akan siasat untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Terdahulu, pelakon remaja berusia 15 tahun itu yang tetamu jemputan dalam satu program ‘broadcast’ di YouTube baru-baru ini mendakwa menerima gangguan seksual daripada bapa kandungnya ketika berusia lima tahun.

Selain itu, remaja berkenaan turut mendakwa bapanya melayan ibunya dengan teruk.

Susulan pendedahan itu, bapa pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah, kelmarin meminta polis melakukan siasatan berhubung dakwaan itu. – MalaysiaGazette