Gambar hiasan

KOTA BHARU – Dua pelajar sekolah menengah dan seorang kelindan lori disyaki terlibat dalam kejadian rogol dan liwat pelajar ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata,  tangkapan itu dilakukan susulan pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kejadian itu membabitkan tiga pelajar perempuan didakwa menjadi mangsa pada 2 dan 3 September lalu.

Dua daripada kejadian rogol terbabit berlaku di kawasan sekolah yang sama namun membabitkan mangsa serta suspek berbeza.

Berdasarkan siasatan awal kejadian yang dilakukan secara sukarela bersama pasangan kekasih masing-masing.

“Tiga suspek yang terlibat telah ditangkap, dua daripada suspek merupakan pelajar sekolah menengah dan kelindan lori berumur antara 17 tahun dan 19 tahun,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Hasil ujian saringan awal dadah ke atas kesemua suspek didapati negatif dan tiada rekod lampau.

Kesemua suspek direman bagi membantu siasatan.

Mohd Rosdi berkata, pelbagai usaha dan inisiatif akan dijalankan oleh pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dengan mengadakan kempen kesedaran jenayah dan ceramah yang dijalankan peringkat sekolah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan sebatan.

Manakala kesalahan di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan.

Polis juga ingin menasihatkan kepada masyarakat di luar sana khasnya ibu bapa untuk memantau kegiatan atau aktiviti anak masing-masing bagi mengawal dan mengawasi tingkah laku anak-anak disamping peranan pihak sekolah dalam menangani jenayah seksual dalam kalangan pelajar.- MalaysiaGazette