Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. capital punishment mandatory death sentence abolish
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

PUTRAJAYA – Kerajaan menolak cadangan agar syarat kelayakan calon pilihan raya diperketatkan dengan melarang individu yang masih dibicarakan di mahkamah bertanding dalam pilihan raya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tiada keperluan untuk menambah syarat baharu bagi urusan pencalonan dalam pilihan raya buat masa ini, khususnya bagi individu yang dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, syarat bagi pencalonan pilihan raya sedia ada mencukupi sebagaimana termaktub dalam Perkara 48 (1) (e) Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan tidak perlu menggubal undang-undang bagi individu yang kesnya masih dibicarakan di mahkamah untuk tidak layak bertanding,” katanya dalam kenyataan kepada media, petang ini.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya yang mencadangkan kerajaan agar mengetatkan syarat kelayakan calon bertanding bagi mana-mana pilihan raya termasuk melarang individu sedang dalam perbicaraan mahkamah berkaitan kes salah laku, penyelewengan dan rasuah.

Katanya, peruntukan itu mengatakan sekiranya individu itu didapati bersalah dan dihukum, dengan hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas akan hilang kelayakan.

Perkara itu juga, kata beliau, perlu dibaca bersama dengan Perkara 48 (5) berkaitan penamaan, pemilihan atau pelantikan mana-mana orang ke mana-mana satu Majlis Parlimen.

“Oleh itu, saya berpandangan tiada keperluan untuk tambah syarat lain bagi mengetatkan syarat pencalonan sedia ada.

“Sekiranya ditambah lagi, ia akan kembali ke era 90-an yang mana proses pencalonan adalah rumit.

“Adalah wajar kita berpandu kepada undang-undang sedia ada yang sememangnya lengkap dan mencukupi untuk proses pencalonan pilihan raya,” kata beliau.

Berhubung individu yang telah dipilih menjadi Ahli Parlimen, katanya, keahliannya tidak akan tergugur, melainkan syarat-syarat sebagaimana yang ditentukan di bawah Perkara 48 (4) Perlembagaan Persekutuan berkaitan Ahli Parlimen telah dihukum dan belum mendapat pengampunan.

Ujar beliau, mengikut Perkara 48 (4) (c) apabila proses yang terakhir iaitu proses pengampunan gagal, maka barulah keahlian ahli parlimen tersebut tergugur dengan sendirinya. – MalaysiaGazette