Thomas Tuchel . Foto: Officalwebsite Chelsea FC.com

LONDON – Thomas Tuchel dipecat daripada jawatan Pengurus pasukan secara mengejut tanpa sebarang notis awal oleh kelab Chelsea hari ini, 20 bulan selepas menerajui kelab itu.

Keputusan yang langsung tidak dijangkakan itu memberi kejutan besar dalam dunia bola sepak khsusunya dalam kalangan penyokongnya di Eropah.

The Blues dilaporkan mengambil ketetapan ‘bercerai’ dengan Tuchel berikutan kekalahan mengejut 1-0 kepada Dinamo Zagreb dalam aksi pertama peringkat kumpulan pada saingan Liga Juara-Juara Eropah yang membuka tirai awal pagi Rabu.

Tuchel, 49 yang juga bekas Pengurus Borussia Dortmund dan paris saint Germain meninggalkan Stamford Bridge pada bila bila masa dari sekarang ekoran pemecatan itu.

Pemilik kelab itu, Todd Boehly telah menempatkan kakitangan kejurulatihan Tuchel untuk menguruskan sementara pasukan itu sehingga penggantinya dicari dan diselesaikan nanti.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam satu kenyataan rasmi mengenai pemecatan Tuchel itu berkata, pemilik kelab itu percaya kini tiba masa yang sesuai untuk membawa ketua jurulatih baharu yang sesuai dan serasi dengan DNA kelab tersebut.

“Sebagai pemilik baharu the Blues yang mencapai 100 hari pengambilalihan kelab, Boehly sedang berusaha untuk membawa kelab ke arah tahap yang lebih baik dalam pentas bola sepak Eropah.

“Pemilik baharu kelab percaya inilah masa yang sesuai untuk membawa pembaharuan tersebut.

“Bagi mewakili semua pihak dalam Chelsea FC, kelab ini merakamkan setinggi penghargaan kepada Tuchel dan barisan kakitangannya atas segala usaha gigih, kudrat yang dicurahkan demi kegemilangan kelab Stamford Bridge selama ini.

Tuchel akan sentiasa dalam tempat khusus dalam sejarah kelab selepas berjaya menjulang Piala Liga Juara Eropah, Piala Super dan Piala Dunia Kelab sepanjang 20 bulan

Tuchel dilantik mengemudi Chelsea pada 26 Januari 2021 menggantikan Frank Lampard sebelum berjaya membantu kelab berkenaan merangkul gelaran kedua Eropah empat bulan kemudian.

Pengurus Brighton Albions Graham Potter dan bekas Pengurus Paris Saint Germain Mouricio Pochettino kini muncul sebagai dua calon hangat yang dikaitkan untuk kerusi panas menggantikan Tuchel.

Chelsea kini menduduki tempat keenam dalam carta liga domestik. – BBC Sport.com

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast