Tertuduh pengawal keselamatan, Mohd Hairol Ahmad, 41, dijatuhkan hukuman denda selepas mengaku bersalah tiga pertuduhan hantaran jelik hina sultan Johor dalam Facebook pada 24 Ogos lalu di Mahkamah Sesyen pagi tadi. Gambar MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Gara-gara memuat naik komunikasi jelik berbaur menghasut dan menghina Sultan Johor pada 24 Ogos lalu, seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM21,000.

Tertuduh juga dikehendaki menjalani hukuman penjara 18 bulan untuk ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapinya jika gagal membayar wang denda RM7,000 yang dikenakan bagi setiap pertuduhan itu.

Hakim Mahkamah Sesyen Jenayah Siber, Nor Hasniah Ab Razak menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Mohd Hairol Ahmad, 41, mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhanselepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa pagi tadi.

Tertuduh dibawa ke mahkamah dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh polis dalam keadaan bergari sekitar jam 9.20 pagi tadi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke pertuduhan ketiga, tertuduh yang merupakan anak tunggal didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada pada 24 Ogos lalu antara jam lebih kurang 10.51 pagi hingga 11.01 pagi menerusi pautan laman profil Facebook miliknya Mohammad Khairolmanshur yang kemudian telah dibaca pada jam 6.13 petang hari yang sama di Pejabata Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Menara KPJ.

Dia dituduh membuat satu kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) Akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling dan Iznina Hanim Hashim.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam menangis merayu agar hukumannya diringankan memandangkan ia merupakan kesalahan pertamanya.

“Puan Arif tolong maafkan saya., saya pun bertindak emosi dan tertekan semasa berada di rumah hingga memuat naik statu jelik tanpa sedar kesan serta betapa serius kesalahan ini.

“Saya hanya kerja sebagai security guard dengan pendapatan bulanan RM1100 dan saya tak tahu apa yang saya buat ini adalah salah serius. Saya mohon maaf sangat sangat.

“Saya anak tunggal dan ada ibu tunggal perlu dijaga, kalau saya kat penjara siapa nak bawa dia pergi rawatan dan uruskan makan minum untuk dia? Dia perlu buat pembedahan hempedu 19 September ini, saya sangat kesal dengan kesalahan ini,” rayunya sambil menangis menangis.

Dua orang warga emas dipercayai ibu bapa saudara kepada tertuduh hadir ke mahkamah sebagai penjamin dilihat duduk di galeri awam mengikuti perbicaraan kes tersebut.

Dalam pada itu, Nor Azizah dalam hujahnya mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan dan denda berat kerana kesalahan tersebut adalah serius.

Malah beliau berhujah bahawa, tertuduh memuat naik tiga kenyataan jelik bahkan menghina Sultan Johor dan ternyata mengundang kemarahan rakyat.

“Selain itu, perbuatannya dibuat dengan sengaja dan menjatuhkan air muka serta hina orang lain serta lebih-lebih lagi hantaran jelik itu dibuat terhadap Sultan Johor yang merupakan simbol institusi perpaduan negara mengikut Perlembagaan Malaysia

“Jika dibiarkan melakukan perbuatan jelik ini, ia boleh menggugat dan mengancam keselamatan negara dan biar hukuman berat menjadi pengajaran kepada tertuduh dan juga mengelak orang lain melakukan perkara sama selepas ini,” katanya.

Selepas mendengar hujah tersebut, hakim  menjatuhkan hukuman denda RM21,000 iaitu RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal akan dipenjara 18 bulan iaitu enam bulan bagi setiap pertuduhan tersebut.

Kes berkenaan telah disiasat dan dikendalikan oleh pegawai penyiasat Inspektor Mod Khabir Mohd Afandi dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman. -MalaysiaGazette