Foto Facebook TFC.

KUALA LUMPUR – Semangat kekeluargaan serta mempercayai kemampuan rakan sepasukan menjadi antara dua kekuatan utama Terengganu FC yang boleh membantu pasukan muncul juara Piala FA 2022.

Pemain Terengganu FC, Habib Haroon, berkata, dia melihat kesungguhan yang ditunjukkan oleh pasukan sejak dari pusingan awal sangat mengagumkan dan perkara itu telah dapat diterjemahkan di padang.

Beliau yang bertindak selaku pemain tengah percaya persaingan merebut bahagian itu (tengah) dengan JDT dijangka menarik sambil tidak mahu terlalu menghormati lawan.

“Dalam tiap kali perlawanan, saya percaya kemampuan rakan sepasukan malah kami sudah berasakan seperti satu keluarga dalam pasukan ini.

“Setiap perlawanan, kami anggap seolah-olah seperti perlawanan akhir dengan komitmen yang sangat luar biasa diberikan setiap pemain.

“Ini yang membawa kami untuk melepasi dari satu peringkat ke peringkat seterusnya walaupun menempuhi banyak perlawanan sukar berdepan beberapa pasukan pilihan.

“Bagi persaingan bahagian tengah, saya bersama Petrus (Shitembi) dan (Manuel) Ott akan cuba imbangi kekuatan JDT walaupun kita tahu kualiti dimiliki lawan ,” katanya.

Habib yang diturunkan dalam 19 perlawanan setakat ini termasuk di Piala FA telah menjaringkan tiga gol di saingan Liga Super.

Kombinasinya bersama Ott dan Shitembi di bahagian tengah sering kali membantu barisan pertahanan selain banyak mencipta ruang kepada jentera serangan yang dianggotai Faisal Halim dan Tchetche Kipre.

Keghairahan penyokong Terengganu jelas semakin tinggi memandangkan sudah 11 tahun  tidak pernah memenangi trofi Piala FA.

Kali terakhir pada musim 2011.

Perkara itu menjadi satu motivasi kepada Habib yang dapat merasakan semangat Terengganu berada di tahap luar biasa menjelang perlawanan akhir Piala FA.

“Sama ada pada saingan liga atau apa jua kejohanan, Terengganu sudah lama tidak memenangi apa-apa piala setelah sekian lama.

“Apabila berada di pentas final, sudah tentu ini peluang terbaik kami tamatkan penantian peminat-peminat Terengganu dan kami akan berikan 120 peratus pada hari perlawanan.

“Saya melihat Terengganu mahukan Piala FA kali ini, lebih daripada segala-galanya dan kami akan tampil dengan semangat luar biasa ,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast