Orang ramai yang mengenakan pelitup muka melawati sebuah kedai berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gaztte di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA'IM, 11 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bagaimanapun berkata, ketetapan baharu itu terpulang kepada pemilik premis sama ada mahu membenarkan orang ramai perlu memakainya atau sebaliknya.

Namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Khairy Jamaluddin bercakap kepada media selepas Majlis ” Opening Ceremony of International Generic and Biosimilar Medicines Association (IGBA) – Malaysia Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI) Coference 2022 ” di Royale Chulan Hotel, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 06 SEPTEMBER 2022.

“Pemakaian pelitup muka masih diwajibkan bagi situasi seperti kes positif Covid-19, menggunakan pengangkutan awam dan semasa berada di fasiliti kesihatan seperti hospital, klinik, runah penjagaan, pusat hemodialisis dan yang setara dengannya.

“KKM juga amat menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti pasar malam, stadium, gedung membeli belah dan rumah-rumah ibadah.

“Pemakaian pelitup muka juga digalakkan kepada individu bergejala seperti demam, batuk dan selsema, individu berisiko tinggi seperti warga tua, orang dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah dan ibu mengandung serta ketika melakukan aktiviti bersama orang yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak,” katanya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Perubatan Biosimilar dan Generik Antarabangsa (IGBA) – Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.

Khairy Jamaluddin

Khairy menambah, keperluan pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini iaitu tidak diwajibkan.

“Dengan kelonggaran ini juga, orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti.

“KKM percaya orang ramai masih akan terus mengamalkan kawalan kendiri yang terbaik, termasuk memastikan kebersihan diri, bagi mengelakkan dari dijangkiti penyakit berjangkit termasuk COVID-19 seperti yang diamalkan pada masa ini,” katanya.

 

Bermula 1 Mei lalu, KKM mengumumkan kelonggaran pemakaian pelitup muka apabila ia tidak lagi diwajibkan di luar bangunan dan kawasan terbuka, namun pelitup muka masih wajib dipakai apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.

Penguatkuasaan pemakaian pelitup muka adalah berdasarkan peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, pemakaian pelitup muka diwajibkan bermula 1 Ogos 2020 susulan penularan pandemik Covid-19 ketika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mana-mana individu yang melanggar kesalahan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast