Sebanyak RM10,000 sekurang-kurangnya diperuntuk kepada anak muda di daerah ini bagi menyuntik semangat golongan itu terlibat dalam sukan E-sports.- Gambar hiasan.

PEKAN – Sebanyak RM10,000 sekurang-kurangnya diperuntuk kepada anak muda di daerah ini bagi menyuntik semangat golongan itu terlibat dalam sukan E-sports.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohd Fahkaruddin Mohd Ariff berkata, sumbangan RM5,000 untuk Persatuan E-sports Pekan bagi pembelian komputer.

Manakala RM5,000 lagi untuk baik pulih pejabat serta meningkatkan fasiliti demi kemudahan anak muda Pekan yang terlibat sukan E-sports, katanya.

“Sumbangan ini merupakan suntikan semangat dan sebagai menghargai usaha anak muda melalui sukan E-sports,” katanya di sini hari ini.

Menurut Fakharuddin, permainan PUBG atau E-sports memerlukan liputan internet yang baik dan stabil.

Justeru selaku Exco terbabit, beliau memahami dan berusaha sebaik mungkin bagi meningkatkan liputan internet di seluruh negeri ini.

“Malah saya juga menubuhkan PahangGo sebuah aplikasi pelbagai guna sebagai sumber ekonomi digital masa hadapan negeri Pahang dan akan berbincang bagaimana PahangGo dapat pula memudahkan urusan pemain E-sports.

“Saya memahami E-sport ini juga mampu menjana pendapatan kepada anak muda dan dianggarkan lebih 500 juta orang menjadi pemainnya di seluruh dunia di mana pendapatan daripada sukan E-sports pada tahun 2021 sahaja berjumlah lebih RM100 bilion,” katanya.

Tambah Fakharuddin, di Malaysia dianggarkan lebih 25 juta pemain Esports yang membelanjakan hampir RM3 bilion setahun.

Ini membuktikan sukan berkenaan mampu menjana pendapatan kepada negara, negeri dan pemain.

“Namun dalam kita bermain E- Sports, jangan kita lupa peranan kita apa lagi anak-anak muda untuk majukan negara, negeri dan mempertahankan agama kita Islam demi masa depan anak cucu kita,” katanya. – MalaysiaGazette