Graham Potter diangkat sebagai Ketua Jurulatih baharu Chelsea serta merta hari ini menggantikan Tuchel yang dipecat 18 jam yang lalu.-Foto kredit Chelseafc.com

LONDON – Ketua Jurulatih Brighton & Hove Albion, Graham Pottter dilantik Pengurus baharu kelab bola sepak England Chelsea pada Khamis.

Pelantikan Potter menyusul tidak sampai 24 jam Thomas Tuchel dipecat pada Rabu sejurus selepas pasukan kendaliannya tewas mengejut 1-0 kepada Dinamo Zagreb dalam aksi pembukaan Kumpulan A pada saingan Liga Juara-Juara Eropah 2022/2023 awal pagi semalam.

Kelab Liga Perdana Inggeris itu dalam laman web rasminya mengesahkan dan mengumumkan pelantikan pengurus baharu itu tidak sampai 24 jam pemilik baharu kelab itu memecat Thomas Tuchel.

“Kelab Bolasepak Chelsea dengan sukacita ingin mengalu-alukan Graham Potter sebagai Ketua Jurulatih baharu kami di Stamford Bridge.

“Potter menyertai kelab kami dengan mengikat kontrak selama lima tahun 2022 hingga 2027/2028 untuk membolehkan beliau menerapkan teknik kejurulatihannya yang berinovatif dan permainan bola sepak yang progresif kepada pasukan elit kami selepas ini,” sebut kenyataan dalam laman rasmi kelab itu.

Potter berikutan pelantikannya itu menyatakan rasa bangga dan keterujaannya untuk mewakili kelab Chelsea FC yang merupakan sebuah kelab terhebat di England.

“Saya sangat teruja untuk menjadi rakan kerjasama pemilik baharu kelab Stamford Bridge ini dan melihat ke hadapan untuk berjumpa dan bekerjasama dengan pasukan pemain untuk membina semula budaya dan pasukan ini agar boleh dibanggakan oleh penyokongnya.’

“Pada masa yang sama saya mahu merakamkan setinggi penghargaan kepada bekas kelab saya iaitu Brighton & Hove Albion yang membuka peluang mengemudi Chelsea khususnya Tony Bloom dan kesemua pemain pasukan itu, kakitangan serta para penyokong sepanjang saya bersama kelab itu selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, pengerusi Chelsea Todd Boehly berkata mereka teruja untuk membawa khidmat Graham ke Stamford Bridge.

“Dia merupakan seorang jurulatih yang terbukti dan berinovasi dalam EPL yang sememangnya menepati visi kelab kami.

“Dia bukan sahaja pakar di atas padang tetapi juga memiliki kemahiran dan keupayaan di luar padang yang akan memastikan kelab ini lebih berjaya selepas ini.

“Dia (Potter) berjaya membawa impak besar bersama kelab sebelum ini (Brighton) dan kami mengharapkan impak positif yang sama dapat diterapkan dalam skuad Chelsea.

“Kelab ini akan terus menyokong aspirasi dan ideanya, pasukan kejurulatihan dan pasukannya dalam mencukil bakat penuh pada tahun akan datang ke arah kecemerlangan..itu janji saya dan juga kelab ini kepada Potter,” tegasnya.

Potter, 47, memulakan karier bolasepaknya di Sweden sebelum membawa bakat kejurulatihannya dalam EPL selama empat musim bersama Brighton. – Chelseafc.com