Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menjalankan siasatan terhadap Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad kerana menafikan mempunyai isteri kedua bernama Zainab Mohd Salleh yang mendapat kontrak jutaan ringgit projek kapal tempur pesisir (LCS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya perlu meneliti pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu ekoran satu laporan dibuat mengenainya pada 30 Ogos lalu.

“Tiada komen kerana kita masih menjalankan siasatan, perkara itu sesuatu yang ditonjolkan oleh beliau. Tapi kita perlu periksa tentang perkara itu.

“Sebab itu mungkin banyak pihak mengemukakan isu-isu kepada media tentang isu-isu tadbir urus itu mungkin diambil daripada audit forensik.

“Namun demikian pihak kami menyiasat bukan itu sahaja, kita menyiasat lebih lanjut daripada itu untuk melihat jenayah yang berlaku oleh mana-mana pihak,” katanya pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya  hari ini.

Sebelum ini, Abdul Latiff melalui pegawainya, Sayed Ahmad Muizzuddin Al Sayed Mohamad membuat laporan terhadap Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli didakwa memfitnahnya dalam isu berkaitan projek LCS di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, 30 Ogos lalu.

Rafizi didakwa menyiarkan empat kenyataan dan tohmahan pada 22, 25, 26 dan 29 Ogos lalu di blog dan menyiarkan semula di Facebook (FB), Twitter dan Tiktok.

Fitnah Rafizi itu kononnya Abdul Latiff mempunyai isteri kedua bernama Zainab yang mendapat kontrak jutaan ringgit dengan Kementerian Pertahanan untuk projek LCS.

Fitnah dan tohmahan itu kerana Rafizi bersandarkan kepada satu laporan forensik sedangkan laporan itu tidak dapat disahkan.

Laporan polis itu menyebut Abdul Latiff menjadi Timbalan Menteri Pertahanan dari 2009 hingga 2013 sedangkan tarikh kontrak LCS kepada Boustead Naval Shipyard pada 17 Julai 2014.

Dalam pada itu, SPRM memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan projek LCS menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan di mahkamah.

“Jadi masa diperlukan lagi oleh pegawai-pegawai penyiasat saya untuk melengkapi siasatan ini. Ia perlu banyak lagi memanggil saksi termasuk saksi-saksi dari luar negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette