Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak perempuan mati tersepit di celah batu semasa mandi sungai di Kampung Pasir Puteh, Kalumpang, Hulu Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah berkata, kira-kira pukul 6.40 petang, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan yang memaklumkan mengenai insiden kanak-kanak mati lemas.

“Pegawai perubatan dalam laporan memberitahu telah menerima pesakit seorang kanak-kanak perempuan tempatan berusia lapan tahun yang dibawa oleh ibu bapanya ke Klinik Kesihatan Kalumpang.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa dalam keadaaan tidak sedarkan diri dan tangan serta mukanya kebiruan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Orang awam yang berada di lokasi kejadian telah cuba sedaya upaya menyelamatkan mangsa dengan memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun gagal,” kata Suffian.

Hasil siasatan lanjut yang dijalankan  polis mendapati kanak-kanak perempuan itu mati lemas ketika mandi di sungai yang berkedalaman kira-kira 0.6 meter.

“Proses bedah siasat telah dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan hasilnya mendapati punca kematiannya disebabkan lemas dan kes telah diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut.

“Orang ramai dinasihati sekiranya mahu mengunjungi pusat perkelahan dalam kawasan Hulu Selangor agar sentiasa peka dengan keselamatan anak-anak dan anggota keluarga yang lain sewaktu berada di pusat rekreasi terutamanya di musim hujan bagi mengelak berlaku sebarang insiden tidak diingini,” katanya. – MalaysiaGazette