Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Permohonan esktradisi terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low tidak tidak dapat dibuat kerana tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan suspek penjenayah itu di negara mereka.

Namun, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, usaha menjejaki lelaki itu bagi pertuduhan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih giat dijalankan.

Katanya, segala maklumat yang terima mengenai keberadaan Jho Low di negara telah diteliti kesahihannya termasuk menggunakan saluran kerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara terbabit.

Menurut beliau, Red Notice atau Notis Merah (Fugitive Wanted For Prosecution) yang dikeluarkan oleh Interpol kepada 195 negara ahli adalah sebagai makluman dan mendapatkan bantuan maklumat mengenai keberadaan penjenayah buruan itu.

“Sekiranya mana-mana negara ahli mengesan keberadaan penjenayah dikehendaki, Interpol negara berkenaan adalah bertanggungjawab untuk menyalurkan maklumat kepada negara yang memperoleh Red Notice bagi proses permohonan ekstradisi.

“Setakat ini, permohonan ekstradisi ke atas Jho Low tidak dapat dibuat memandangkan tiada negara ahli Interpol yang mengesahkan keberadaan suspek penjenayah itu di negara mereka,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut Acryl Sani, PDRM mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung lokasi Jho Low dan boleh menyalurkannya melalui talian CCID Infoline di 013-211 1222 (whatsapp sahaja) atau di mana- mana balai polis yang berhampiran.

Tambah beliau dalam perkara berkaitan, setiap maklumat yang diterima diteliti kesahihannya dan akan disalurkan kepada Interpol bagi mendapatkan bantuan pengesahan lanjut daripada negara-negara ahli yang terlibat.

Malah beliau turut menyatakan pendirian tegasnya bahawa PDRM kekal komited dalam memastikan Jho Low ditahan untuk dibawa ke muka pengadilan di negara ini.

Mengulas lanjut dalam perkara terbabit, Acryl Sani menjelaskan PDRM setakat ini telah memfailkan sebanyak 13 pertuduhan di mahkamah terhadap Jho Low walaupun tanpa kehadirannya (In Absentia) melibatkan kes 1MDB.

“Untuk makluman, PDRM juga telah memohon dan memperolehi Red Notice daripada Interpol terhadap Jho Low pada tahun 2018 yang mana Red Notice tersebut adalah jenis kategori yang hanya boleh diakses oleh agensi penguat kuasa negara ahli Interpol memandangkan suspek berkenaan tidak memudaratkan keselamatan awam berdasarkan penilaian pihak Interpol.

“Selain PDRM, pihak berkuasa asing di Singapura dan Amerika Syarikat turut menjalankan siasatan ke atas Jho Low dan kedua-dua negara terbabit juga telah menfailkan pertuduhan terhadap penjenayah sangat dikehendaki itu di negara masing-masing,” tegasnya.

Basru-baru ini wartawan Tom Wringht dan Bradley Hope dari Amerika Syarikat (AS) mendakwa, ada pihak pernah ternampak Jho Low bersama keluarganya iaitu isteri dan dua anaknya di Disneyland, Shanghai sekitar Disember 2019.

Malah menurut mereka, semakin banyak maklumat mengenai keberadaan penjenayah berkenaan di China diperoleh sejak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara. — MalaysiaGazette