Operasi mencari seorang mangsa yang hilang diteruskan menggunakan kaedah pencarian permukaan pada jarak kira-kira 80 meter dari persisiran pantai.

KOTA TINGGI – Seorang remaja perempuan 13 tahun masih hilang manakala lima lagi rakannya berjaya diselamatkan termasuk dua lagi  tidak sedarkan diri ketika mandi di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini, pagi tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar, Mohd Hazmi Zulkafli berkata, tiga mangsa yang berusia 13 tahun itu diselamatkan oleh orang awam  sebelum pihak bomba tiba di lokasi berkenaan.

Manakala, dua orang mangsa yang tidak sedarkan diri itu masing-masing seorang remaja lelaki dan perempuan berusia 12 dan 14 tahun ditemui oleh pihak bomba.

Seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.39 pagi.

Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba dimaklumkan terdapat enam orang mangsa lemas ketika sedang mandi di pantai.

Kesemua mangsa yang dibawa naik telah diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Penawar menggunakan ambulans.

Operasi mencari mangsa yang hilang masih diteruskan menggunakan kaedah pencarian permukaan pada jarak kira-kira 80 meter dari persisiran pantai.- MalaysiaGazette