Usaha mencari remaja perempuan lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Balau pagi tadi, ditamatkan berikutan penemuan mayat mangsa sekitar jam 2.37 petang tadi.

KOTA TINGGI – Mayat seorang remaja perempuan mati lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Balau di sini hari ini ditemui petang tadi.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim, Mohd Najib Sam berkata, mangsa, Nurish Qhalisya binti Suhailizam, 14, ditemui penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhampiran lokasi kejadian pada pukul 2.37 petang tadi.

Mayat mangsa telah disahkan oleh waris dan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Kota Tinggi bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima panggilan kecemasan pukul 8.40 pagi daripada orang awam melihat beberapa orang terkapai-kapai meminta tolong akibat dipukul ombak.

Kejadian melibatkan lima remaja perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki berusia di antara tujuh hingga 14 tahun.

“Lima daripada mereka berjaya diselamatkan dan orang awam yang berada di tempat kejadian namun dua daripadanya dalam keadaan kritikal,” kata Mohd Najib dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru menurutnya, MRSC Johor Bahru telah menamatkan Op CARILAMAT sebaik mangsa ditemui.

Maritim Malaysia juga ingin menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim supaya mengutamakan keselamatan dan cakna dengan perubahan cuaca agar kejadian tidak diingini tidak berlaku.

Sebarang kecemasan segera hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Sedili di talian 07-8916591. – MalaysiaGazette