Mohd Khalid Harun

KUALA LUMPUR – Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) mencadangkan kerajaan mengurangkan kadar tol bagi merangsangkan pelancongan domestik.

Presidennya Datuk Dr. Mohd Khalid Harun berkata, pendekatan itu akan menggalakkan rakyat bercuti di dalam negara, sekali gus merancakkan sektor pelancongan.

“Saya lihat sekarang di mana-mana sahaja tempat pelancongan mendapat sambutan. Mana-mana saya pergi saya lihat rakyat kita berpusu-pusu bercuti apatah lagi sekarang musim cuti sekolah.

“Ini petanda baik. Jadi kalau boleh turunkan harga tol untuk galakkan orang tempatan bercuti dalam negara,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Mohd Khalid, kehadiran pelancong domestik ini merupakan satu petanda baik kepada sektor tersebut dan ekonomi negara.

Terdahulu, beliau menyambut baik kelonggaran pemakaian pelitup muka oleh Kementerian Kesihatan.

Keputusan itu membuktikan kerajaan sudah berjaya mengawal pandemik Covid-19 yang melanda negara dua tahun lalu.

“Kita alu-alukan apa yang dibuat oleh kerajaan memang betul Malaysia adalah antara negara yang berjaya mengawal pandemik ini dengan baik,” tambah beliau.

Walau bagaimanapun, Mohd Khalid mengingatkan pelancong dari dalam mahupun luar negara untuk terus berwaspada demi keselamatan kesihatan masing-masing khususnya apabila berada di pusat pelancongan yang menjadi tumpuan. – MalaysiaGazette