Artis, Lufya Omar

KUALA LUMPUR – Polis sudah selesai mengambil keterangan pelakon, Lufya Omar bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan menculik anak perempuannya pada 26 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, keterangan daripada pelakon terbabit bersama anaknya itu selesai dirakam pada 7 September lalu.

“Kami sudah sudah selesai mengambil keterangan daripada pelakon wanita terbabit selepas dia sendiri tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya selepas dipanggil polis dan memberi kerjasama merakam keterangan bagi membantu melicinkan siasatan kami.

“Manakala, kanak-kanak itu (anak perempuan Lufya) telah dirujuk kepada Child Interview Center (Pusat Temuramah Kanak-Kanak) dan proses rakam keterangan daripadanya dilaksanakan di situ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Forum Kesedaran Anti-Scam “Jangan Jadi Mangsa Scam” di Dewan Komuniti Bandar Utama 11 hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, tambah Mohamad Fakhrudin, polis juga sudah mengambil lakaran fotofit suspek dan sedang mengenal pasti lelaki terbabit.

“Siasatan polis setakat ini mendapati hanya seorang suspek yang terlibat dan usaha mengesannya suspek giat dijalankan,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Lufya mendakwa seorang lelaki tidak dikenali cuba menculik anak perempuannya, Laana Haura di taman permainan kawasan perumahan mereka di Kota Damansara.

Lufya atau nama penuhnya, Lutfyah Sheikh Omar bersyukur anak dan dirinya selamat walaupun mendakwa dirinya cedera di muka akibat dipukul menggunakan batang kayu oleh suspek ketika menyelamatkan anaknya daripada diculik.

Wanita itu kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu sebagai mendesak tindakan polis di Balai Polis Kota Damansara kira-kira pukul 6 pagi pada 29 Jun lalu.-MalaysiaGazette