Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Batu, P. Prabakaran membidas Pas sebagai sebuah parti yang pandai bermuka-muka dan tidak berprinsip.

Malah kata kata Ketua Cabang PKR Batu itu, imej Pas sebagai parti Islam tidak seperti yang digambarkan apabila berdepan ‘kuasa’ politik.

“Mana tidaknya, saya boleh kategorikan Pas sebagai sebuah parti berada di tangga pertama yang tidak mempunyai maruah mahu pun prinsip. Saya tidak kisah jika dikritik sekali pun tetapi biar saya berikan anda satu contoh secara umum.

“Pada tahun 2020 sehinggalah Pakatan Rakyat (PH) menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan memegang tampuk kuasa, Pas telah bersama UMNO dengan begitu ‘setia’ tetapi selepas Langkah Sheraton, Pas bersama pula Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pada saat itu, mereka bergaduh sakan dengan UMNO dan setia pula bersama Muhyiddin dan Bersatu.

“Sekarang apabila sedar Bersatu tiada sokongan dan tidak mungkin menang pada PRU-15 dengan cepat hampir majoritinya mahu pula bersama UMNO. Adakah ini namanya ada prinsip? Apabila takut kalah, terus mahu sokong UMNO, langsung tiada maruah,” katanya.

Prabakaran mendakwa demikian pada program Pentas Angkatan Muda yang dihadirinya di Taman Medan malam tadi.

Bidas Prabakaran lagi, parti kedua yang tidak mempunyai maruah dan sanggup berbuat apa sahaja untuk kuasa ialah Bersatu.

“Bersatu adalah parti kedua yang tiada prinsip mahu pun maruah pada saya. Mana ada prinsip atau maruah apabila mereka sanggup dan beria-ia hadir Muktamar Pas pada tempoh hari walaupun menyedari sokongan Pas terhadap mereka sudah berkurangan.

“Majoriti dalam muktamar Pas sudah menolak mereka tapi mereka masih mahukan sokongan Pas,” dakwanya.

Prabakaran turut memohon rakyat supaya menilai sendiri segelintir pemimpin yang sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kuasa sentiasa di pegang oleh mereka dengan membelakangkan mandat serta amanah rakyat.

“Pilihlah yang berwibawa untuk jadi wakil rakyat untuk masa depan serta kebajikan kita sentiasa terbela pada sepanjang waktu,” ujarnya. – MalaysiaGazette