Abdul Rahman Mohamad ketika Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) peringkat kebangsaan 2022 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan malam tadi.

KUANTAN – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) komited untuk terus menggalakkan belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, atlet-atlet dalam golongan itu berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat negeri atau kebangsaan seperti SUKMA.

Justeru, KPLB melaksanakan pelbagai agenda untuk pembangunan masyarakat Orang Asli menerusi peruntukan sebanyak RM 274 juta yang turut meliputi bidang sukan.

“Tibalah masanya masyarakat orang asli mesti lagi jauh ke hadapan. Sebab itu pelbagai usaha kita lakukan untuk membangunkan masyarakat Orang Asli,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) peringkat kebangsaan 2022 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan malam tadi.

Timbalan Menteri I Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Sapiah Mohd Noor (kanan) dalam majlis perasmian Karnival Sukan Orang Asli (KSOA) peringkat kebangsaan 2022 di Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan malam tadi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia, Sapiah Mohd Noor dan Exco Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Tambah Abdul Rahman, JAKOA melaksanakan pelbagai program termasuk karnival keusahawanan agar golongan itu dapat lebih pendedahan dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

Menyentuh berkenaan KSOA, beliau berkata, penganjuran karnival sukan itu membuka peluang kepada belia dan beliawanis Orang Asli terlibat secara langsung dalam bidang sukan selain merapatkan hubungan silaturrahim antara mereka melalui sukan.

“Kita tahu corak kehidupan Orang Asli yang banyak tinggal di kawasan pinggir bandar dan di dalam hutan, selain sering berjalan kaki serta menggunakan kudrat untuk aktiviti pertanian dan sebagainya mampu untuk membentuk stamina luar biasa.

”Hasrat kita untuk menjadikan karnival ini sebagai satu lonjakan untuk belia dan beliawanis terlibat secara serius dalam bidang sukan selain mampu mewakili negeri masing-masing dalam kejohanan yang besar,”ujar beliau lagi.

Karnival yang dianjurkan selama dua hari itu mempertandingkan empat kategori sukan bola sepak, bola jaring, sepak takraw dan menyumpit melibatkan seramai 535 orang atlet dan jurulatih serta urus setia.

Kontinjen tuan rumah iaitu pasukan atlet dari Pahang dinobat Juara Keseluruhan KSOA dan membawa pulang piala pusingan.

Sehingga kini, seramai tiga atlet Orang Asli meraih kejayaan di persada sukan antarabangsa iaitu Zumika Azmi, 19 dan Sasha Azmi, 17, adik beradik yang berasal dari suku kaum Temiar dan berasal dari Gua Musang Kelantan.

Manakala Norashikin Mohamad Sayed Gadis merupakan anak Orang Asli pertama mewakili negara dalam Sukan Layar berjaya membawa pulang emas pada Kejohanan Kapal Layar Asia di China 2010 dan Sukan SEA Singapura 2015.- MalaysiaGazette