Keadaan mangsa yang luka di kepala dan bahu selepas ditikam oleh seorang remaja Afghanistan.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki Afghanistan ditangkap dan direman tujuh hari, sehari selepas menikam jurujual  sebuah kedai di Jalan Merdeka Permai 2 Ampang.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan dibuat selepas mangsa membuat laporan polis semalama.

Pengadu mendakwa, remaja berusia 18 tahun itu menikamnya di kepala dan bahu dengan pisau selepas enggan menyerahkannya duit.

Jelas beliau, kejadian berlaku pada 7 petang semalam.

Pengadu telah mendapat rawatan di Hospital Ampang,” katanya menerusi kenyataan.

Mohamad Farouk menambah, polis juga telah merampas sebilah pisau pemotong sayur dan pakaian yang digunakan semasa kejadian tersebut.

Suspek didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Kes tersebut disiasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan, melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. -MalaysiaGazette