Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan penyerahan kepada semua penerima surat hak milik tanah Felda, hak milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan notis 5A kepada peneroka di Dewan Felda Bukit Sagu 1

KUANTAN –  Sebanyak RM200 juta diperuntukkan bagi menyelesaikan projek rumah terbengkalai di kawasan Felda di sekitar Pahang yang akan dilakukan secara berperingkat.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perutukkan tersebut merupakan sebahagian daripada geran RM1 bilion yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Felda bagi membantu peneroka.

Jelasnya, tindakan tersebut sebagai langkah efektif menyelesaikan isu tanah tersepit atau pocket land di kawasan tanah rancangan Felda di negeri ini bagi tujuan pembangunan belia dan rumah generasi kedua Felda.

“Penyelesaian dibuat kerajaan negeri memberi kelulusan dan kebenaran pemilikan tanah bagi memudahkan pembangunan dilaksanakan.

“Peruntukan itu diterima selepas Kerajaan Pahang telah memberi kebenaran supaya tanah-tanah tersepit dipermudahkan kelulusan bagi tujuan pembangunan perumahan generasi kedua dan belia Felda,” katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri  majlis penyerahan surat hak milik tanah Felda, hak milik Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) dan notis 5A kepada peneroka di Dewan Felda Bukit Sagu 1 di sini.

Sementara itu, Wan Rosdy menasihatkan pemilik surat hak milik untuk membangunkan tanah tersebut dengan sewajarnya dan tidak menjualkan sumber yang terhad itu sewenang-wenangnya. – MalaysiaGazette