Rina Harun

SERDANG – Bukan hanya menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menangani isu keganasan dan penindasan terhadap wanita, ahli Skuad Waja juga didedahkan berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, berkata, pendedahan khusus tentang RUU itu bertujuan memastikan ahli skuad berkenaan mampu mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap isu-isu yang melibatkan gangguan seksual termasuk cara mengatasi dan tindakan selanjutnya.

Menurutnya, kesedaran ini paling penting untuk diketahui oleh masyarakat kerana gangguan seksual juga berlaku pada lelaki.

“Bila kita sebut tentang kesejahteraan kehidupan rakyat, ia tidak kira lelaki dan perempuan. Macam RUU Anti Gangguan Seksual, walaupun kajian dibuat mendapati ramai mangsa wanita, tetapi ada juga mangsa lelaki.

“Jadi kerana itu, bila kita mengadakan Skuad Waja yang penting kesedaran, ada ilmu kesedaran, pengetahuan sekurang-kurangnya mereka tahu mendidik masyarakat yang lain,” katanya ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Semarak Skuad Waja Kebangsaan 2022.

Perhimpunan yang bertemakan Prihatin Rakyat itu diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

Katanya, skuad berkenaan memerlukan lebih ramai ahli daripada pelbagai lapisan masyarakat untuk memudahkan proses mendidik dan memberi kesedaran.

“Yang penting kita perlu ahli Skuad Waja yang lebih ramai, daripada pelbagai latar belakang,” tambah beliau.-MalaysiaGazette