Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang peniaga kedai runcit menegur dua pelanggannya yang membuat bising mengakibatkannya dipukul dan dicederakan kedua-dua suspek tersebut.

Kejadian berlaku di Taman Pandan Cahaya di Ampang pukul 9.30 malam semalam ketika tiga lelaki masuk ke dalam kedai mangsa berusia 25 tahun untuk membeli minuman keras.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dua daripada mereka bersuara tinggi di dalam kedai menyebabkan pengadu menegur dan mengarahkan mereka keluar dari premis tersebut.

“Apabila pengadu keluar dari kedai, dua lelaki itu datang ke arahnya lalu memukul bahagian dada dan belakang badan pengadu menggunakan tangan dan sebatang kayu.

“Pada masa sama, orang awam yang berada di sekitar lokasi dan menyaksikan kejadian bersama seorang lagi rakan suspek segera membantu meleraikan pergelutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, rentetan kejadian itu, pengadu telah mengalami kecederaan di bahagian lengan kiri, belakang badan dan dada.

Ujar beliau, bertindak atas maklumat itu, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kejadian sebelum menahan kedua-dua suspek berusia 23 serta 26 tahun itu.

“Pemeriksaan ke atas mereka berjaya merampas sebatang kayu yang disyaki digunakan suspek untuk memukul peniaga kedai di dalam kejadian itu.

“Pemeriksaan polis juga mendapati kedua-dua suspek merupakan warga Myanmar dan tidak bekerja.

“Semakan lanjut mendapati mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.- MalaysiaGazette