Bangkai helikopter yang ditemui di lokasi nahas di Bidor, Perak.

KUALA LUMPUR – Juruterbang yang hilang bersama helikopter ketika dalam penerbangan semalam ditemui hidup di lokasi nahas di Kampung Kenangan, Bidor pagi tadi.

Bagaimanapun, mangsa lelaki itu dalam keadaan parah ketika dia ditemui kira-kira jam 8.18 pagi.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, mangsa telah dikeluarkan dari kokpit oleh pasukan penyelamat di lokasi nahas di Hutan Simpan Chikus, di sini, sekitar pukul 10.12 pagi

“Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri semasa pasukan penyelamat membawanya ke hospital.

“Apabila tiba di hospital, mangsa disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdahulu, Ka Siong dalam hantaran di Facebook mengesahkan juruterbang terbabit masih hidup ketika ditemui.

Mengulas lanjut menteri itu berkata, pihaknya masih menunggu keputusan hospital untuk menentukan punca dan waktu kematian juruterbang tersebut.

“Kementerian Pengangkutan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang juruterbang tersebut,” tambahnya.

Menurut beliau, pihaknya akan mengarahkan penyediaan satu laporan lengkap mengenai nahas ini selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) selesai operasi mencari dan menyelamat. – MalaysiaGazette

 

https://malaysiagazette.com/2022/09/12/juruterbang-helikopter-ditemui-mati-polis/