Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba hadir pada Majlis Pelancaran Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 12 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan memberikan moratorium khas kepada perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar polisi semalaman (OPR) baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, perbincangan akan dilakukan dengan dua kementerian terlibat mengenai cadangan itu.

“Kita akan bincang dan tidak boleh akan jawab macam ini. Kita akan bincang dengan KUSKOP (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Kementerian Kewangan,” katanya kepada media selepas merasmikan Dasar Bioteknologi Negara 2.0 (DBN 2.0) di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan memberikan moratorium khas kepada PMKS selepas BNM menaikkan kadar OPR baru-baru ini.

Katanya, sektor PMKS masih belum pulih sepenuhnya dan peningkatan kadar OPR akan menyebabkan mereka menanggung hutang yang lebih tinggi.

“Seperti mana pelaksanaan moratorium sebelum ini, bank-bank di negara kita tidak mengalami kerugian pun,” kata Muhyiddin dalam sebuah hantaran di akaun Facebook rasminya. – MalaysiaGazette