Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berucap pada Majlis Transformasi Pendidikan: Infrastruktur Selamat dan Kondusif di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 12 SEPTEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Proses pemutihan tanah di 2,000 sekolah seluruh negara masih belum selesai sehingga kini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, daripada jumlah itu, kementeriannya telah menyelesaikan 30 status tanah sekolah.

Menurut beliau, pelaksanaan pemutihan tanah sekolah memerlukan masa kerana mempunyai tahap kerumitan yang berbeza.

“Ada keadaan di mana bayaran pembelian tanah sudah dibuat pada tahun 1980 tapi sampai hari ini belum dapat geran, penama belum tukar. Perkara begini nampak mudah tapi akan cetus masalah.

“Kita cuba selesaikan semua, banyak yang perlu diselesaikan. Ini bukan baharu, puluhan tahun punya cerita,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Jelas beliau, status tanah sekolah-sekolah yang terlibat perlu diselesaikan untuk memudahkan proses pembinaan infrastruktur pada masa akan datang.

“Perkara ini nampak mudah tapi akan cetus masalah pada masa akan datang kalau nak bina bangunan baru,” tambahnya.

Terdahulu Radzi ditemui di Dewan Perdana Putra Sekolah Sultan Alam Shah selepas menyempurnakan Program Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan Sektor Perancangan dan Pembangunan.

Tambah Radzi, KPM bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri dalam memastikan isu status tanah sekolah selesai dengan segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast