Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya.

Menurut baginda, pengampunan terhadap mana-mana individu tidak boleh dilakukan hanya untuk kepentingan tertentu.

Serentak itu Sultan Sharafuddin mahu rakyat memahami bahawa proses pengampunan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang seperti ditetapkan oleh Perlembagaan.

“Sukacita juga Beta menzahirkan sokongan padu Beta terhadap titah ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 5 September 2022 berkaitan dengan kuasa prerogatif pengampunan yang tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

“Rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya,” titah Sultan Sharafuddin.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kuasa menghukum dan pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Titah baginda, sekiranya undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil, ia bermakna penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman yang merupakan teras dan paksi kepada sistem demokrasi raja berperlembagaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman pada satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas dan berwibawa.

Titah baginda, Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Rakyat perlu mengambil maklum bahawa hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi adalah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

“Malah Perdana Menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

“Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman di dalam sistem pemerintahan negara,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk sentiasa memelihara nama baik Badan Kehakiman agar ia tidak tercemar dari sebarang bentuk pengaruh dan tekanan.

“Beta mengambil kesempatan di sini juga untuk mengingatkan pihak Eksekutif agar sentiasa mendukung penuh prinsip kebebasan kehakiman dan mengelak dari sebarang cubaan untuk mempengaruhi proses pentadbiran keadilan Badan Kehakiman.

“Kebebasan Badan Kehakiman memerlukan sokongan, dokongan, kefahaman dan iltizam dari semua pihak terutama dari pihak Eksekutif.

“Sehubungan dengan itu, Beta menyeru semua pihak berganding bahu dengan mengambil langkah-langkah ke arah mempertahankan dan menjamin kebebasan Badan Kehakiman demi kesejahteraan dan kemakmuran negara,” titah baginda.

Menurut baginda, rakyat perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas tanpa mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan Badan Kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik Negara di peringkat antarabangsa. – MalaysiaGazette