Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani beramah mesra dengan sebahagian duta yang hadir pada Majlis Pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di Maktab PDRM, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 13 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyasarkan penurunan kes penipuan dalam talian sebanyak 10 peratus setahun, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Menurutnya, sasaran itu ditetapkan bagi melindungi rakyat daripada terus menjadi mangsa jenayah dunia siber.

“Jenayah penipuan ini sukar untuk dicegah dan dibendung tapi boleh dikawal dengan cara memberi pengetahuan yang secukup kepada masyarakat.

“Sebab itu, pada hari ini, kita telah melantik 56 individu yang terdiri daripada tokoh sukan, atlet, pempengaruh dan para selebriti sebagai Duta Anti Scam yang akan menggunakan cara dan kaedah tersendiri membawa mesej kesedaran kepada orang ramai mengelak terjerat penipuan dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyampaikan watikah pelantikan Duta Anti Scam di Maktab PDRM Cheras petang tadi.

Antara individu dipilih adalah Tokoh Badminton Negara, Datuk Lee Chong Wei, penyanyi dan pelakon, Datuk Awie dan pengarah filem Tamil, Vimala Perumal.

Kesemua individu yang dilantik akan menjalankan peranan dengan cara tersendiri memandangkan mereka mempunyai peminat dan pengikut yang ramai yang dirasakan kaedah terbaik menyampaikan mesej anti scam kepada rakyat.

Pada perkembangan sama, tambah Acryl Sani, PDRM juga komited untuk memastikan setiap orang cakna untuk melindungi diri daripada terjebak dengan scammer yang semakin agresif serta sentiasa metodologi penipuan mereka.

“Sentiasa peka dan cara untuk bertindak balas terhadap scammer yang akan cuba memperdaya mangsa yang mana lazimnya penjenayah ini tidak bersemuka sebaliknya hanya berkomunikasi dalam talian.

“Maka orang ramai jangan mudah panik jika terdedah kepada penipuan dalam talian jika mendapat panggilan meragukan.

“Kebanyakan scammer dilihat berubah daripaada teknik konvensional kepada kaedah lebih canggih mengikut peredaran dunia siber iaitu ambil alih akaun media sosial untuk mempengaruhi kita dengan penyamaran sebagai pemberi khidmat internet dan sebagainya.

“Jika berdepan situasi begitu sila berwaspada dan jika tidak pasti memutuskan panggilan serta komunikasi online itu serta merta atau merujuk segera pihak berkuasa untuk tindakan pantas,” katanya lagi.

Menurut beliau, kempen seperti hari ini bukan baharu sebaliknya sudah bermula sejak 2020 lagi dan kini Jabatan Siasatan Jenayah tidak bersendirian lagi kerana ramai dalam kalangan masyarakat bertanggungjawab mahu membantu kita mencegah penipuan yang berlaku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast