UMNO
Azalina Othman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun agar membuang sahaja perkataan ‘wanita’ dalam kementeriannya, hari ini.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, gesaan itu ekoran tindakan Rina yang hanya mampu tersenyum dalam video tular yang dianggap merendah-rendahkan kaum wanita.

“YBM, elok @KPWKM ditukar kpd “Kementerian Pembangunan Keluarga”, buang je perkataan “wanita”. Senang kerja.

“Rugi  semua usaha Kementerian dlm isu Menentang Keganasan thdp wanita bagai Mencurah Air  ke Daun Keladi. Kesian,” katanya di Twitter beliau hari ini.

Azalina merujuk kepada satu video yang dimuat naik Ahli Parlimen Titiwangsa itu yang memaparkan Rina dan pegawai KPWKM bersama pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor yang mempersendakan golongan wanita dengan menggunakan ayat kurang sopan seperti “suka bangun lambat”, “wanita semua lambat”, “aku nak belasah kepala korang” .

Video itu rupanya adalah promosi yang dilakukan Rosyam untuk mengajak orang ramai menghadiri Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM di Pusat Dagangan Dunia (WTC) bermula hari ini.

Video itu mendapat reaksi daripada Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh yang sedih melihat agensi dan kumpulan sasar di bawah kementerian itu dipergunakan Rina untuk tujuan promosi sedemikian rupa.

“Cukuplah tiga tahun menjadikan KPWKM ini sebagai bahan gurauan. Saya sedih melihat agensi, pegawai kerajaan dan kumpulan sasar KPWKM digunakan seperti ini.

“Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita.

“Yang harus ‘bangun daripada tidur’ adalah Rina Harun dan Timbalan Menteri beliau (Siti Zailah Yusoff daripada PAS). Tiga tahun sudah melebihi tempoh percubaan untuk mereka ‘bangkit’ buat kerja,” katanya dalam satu kenyataan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast