banglo Guan Eng saw yee fung kerajaan PH bekalan gula
Saw Yee Fung

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sentiasa goyah akibat perebutan kuasa pada peringkat awal pemerintahannya.

Jurucakap MCA, Saw Yee Fung berkata, kegagalan dan ketidakcekapan para pemimpin PH mentadbir selama mereka berkuasa memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat.

Sebaliknya, menurut beliau, kerajaan yang ditunjangi Barisan Nasional (BN) ketika ini sentiasa berusaha memajukan negara dan rakyat walaupun tempoh pemerintahannya tinggal hanya tidak sampai setahun.

“Rakyat pastinya mengharapkan keadaan ekonomi negara terus bertahan, pulih dan berkembang dengan lebih maju pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan dan runtuh dengan sendirinya setelah Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba-tiba meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

Situasi itu menjerumuskan negara dalam suasana tidak menentu ketika krisis pandemik Covid-19 baru bermula.

Yee Fung menambah, kerajaan terus mengorak langkah memajukan ekonomi negara walaupun dalam suasana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang semakin hampir.

Beliau memberitahu, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, inisiatif Malaysia Digital (MD) yang dilancarkan Julai lalu berjaya meraih nilai pelaburan digital langsung asing dan domestik masing-masing sebanyak RM42 bilion dan RM4.76 bilion setakat 24 Ogos lalu.

Selain itu, katanya, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong juga yakin nilai perdagangan Malaysia dan China mampu melepasi paras RM855 bilion tahun ini.

“Ban Hong menyatakan bagi tempoh tujuh bulan pertama 2022, perdagangan dengan China telah meningkat sebanyak 16.9 peratus berbanding tempoh sama 2021 manakala eksport berkembang 13.2 peratus, dipacu oleh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E), gas asli cecair (LNG) dan lain-lain.

“Ini membuktikan keyakinan pelabur dan pedagang asing dan tempatan terhadap kerajaan yang ada pada hari ini walaupun dianggap lemah oleh sesetengah pihak,” jelasnya. – MalaysiaGazette