Gan Yee Hin

KUALA LUMPUR – Para pemegang saham tidak berkepentingan G Neptune Berhad (G Neptune) telah meluluskan cadangan pelan penyusunan syarikat semasa mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang diadakan hari ini.

Pemegang saham juga meluluskan untuk menukar nama Syarikat kepada Southern Score Builders Berhad, satu langkah yang diambil oleh syarikat untuk lebih mencerminkan identiti korporat baharu G Neptune pada masa hadapan.

G Neptune berkata, kelulusan pemegang saham itu menandakan peristiwa penting bagi cadangan penyusunannya bagi menangani status Nota Panduan 3 (GN3) syarikat serta mengembalikannya kepada kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta keuntungan.

Menurutnya, pemegang saham juga meluluskan cadangan penyatuan setiap 10 saham G Neptune sedia ada menjadi satu saham, cadangan penyelesaian hutang berjumlah RM3.1 juta kepada Pengarah Eksekutif G Neptune, Chai Tham Poh, melalui terbitan 20.67 juta saham.

Selain itu, cadangan penempatan persendirian untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM108.6 juta melalui terbitan 543.05 juta saham kepada pelabur yang akan dikenal pasti kemudian dan cadangan pengecualian daripada obligasi untuk melaksanakan tawaran pengambilalihan mandatori bagi baki saham G Neptune yang belum dimiliki oleh Super Advantage serta Tan Sri Gan Yu Chai dan Gan Yee Hin,” kata G Neptune.

Super Advantage dipegang oleh Pengarah Urusan Southern Score Sdn Bhd (SSSB) Yu Chai, seorang veteran dalam industri pembinaan dan pembangunan hartanah dengan pengalaman lebih 30 tahun serta Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SSSB, Yee Hin.

Mengulas lanjut, bahagian penting daripada penyusunan semula yang diluluskan adalah cadangan pengambilalihan keseluruhan kepentingan ekuiti dalam SSSB daripada Super Advantage Property Sdn Bhd (Super Advantage) untuk pertimbangan pembelian sebanyak RM252 juta dilaksanakan secara terbitan 1.68 bilion saham.

SSSB ialah syarikat perkhidmatan pengurusan pembinaan yang mencatatkan keuntungan bersih masing-masing sebanyak RM6.51 juta, RM19.20 juta dan RM35.18 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019, 2020 dan 2021.

Manakala Super Advantage, sebagai vendor Southern Score, telah menyediakan jaminan keuntungan bersih terkumpul sebanyak RM80 juta dalam tempoh tiga tahun dari 2022 hingga 2024. – MalaysiaGazette