Samy Vellu

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Khabar kematian itu telah dimaklumkan,  Tan Sri Dr S. Subramaniam dalam Facebook beliau.

Mendiang juga merupakan mantan Ahli Parlimen Sungai Siput antara 1974 sehingga 2008 dan pernah menjadi Menteri Kerja Raya pada 1983 hingga 1989 dan kemudian pada 1995 sehinggalah 2008.

Samy Vellu kemudian menjadi Duta Khas ke Asia Selatan untuk beberapa tahun selepas itu.

Dalam catatan Facebook, Subramaniam yang pernah menjadi bekas Menteri Kesihatan dan bekas Presiden MIC itu melahirkan rasa dukacitanya dengan pemergian Samy pagi ini.

“Dengan penuh dukacita saya ingin sampaikan berita kematian Tun S. Samy Vellu, seorang legenda dalam Kabinet Malaysia, yang baru saya terima daripada anak lelaki mendiang, Datuk Seri S. Vell Paari.

“Mendiang Samy Vellu ialah mentor kepada ramai orang,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, mendiang meninggalkan jasa dan sumbangan yang tidak ternilai kepada negara khususnya komuniti India.

“Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asian (AIMST University) dan Kolej TAFE ialah antara sumbangan beliau yang akan kekal selamanya dalam memori kami,” tulisnya. – MalaysiaGazette