Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 28 Oktober depan bagi menentukan nasib peguam terkenal, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri kes penggubahan wang haram berjumlah RM9.5juta.

Wang itu didakwa telah di terima oleh Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Razak.

Shafee juga sedang dibicarakan terhadap dua pertuduhan membuat kenyataan palsu kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin selesai mendengar penghujahan lisan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz sebelum menetapkan tarikh keputusan pada 28 Oktober depan.

Kata Jamil, beliau memerlukan masa untuk meneliti penghujahan lisan dan penghujahan bertulis melebihi 500 muka surat yang difailkan oleh kedua-dua belah pihak.

Pihak pendakwaan telah menutup kes selepas memanggil lapan saksi pada 12 Mei lepas, untuk makluman kes itu mula dibicarkan pada 21 Mei 2021.

Tertuduh  didakwa pada 13 September 2018 dengan dua pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram melalui cek milik bekas Perdana Menteri yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek sebanyak RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dengan sesyen itu memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, Shafee juga berdepan dua tuduhan melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu dengan membuat penyata yang tidak betul.

Penyata itu bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.- MalaysiaGazette