Wong Chen

KUALA LUMPUR – PKR kemukakan sebanyak 12 cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan dalam Belanjawan 2023.

Cadangan itu dikemukakan wakil PKR,  Nurul Izzah Anwar, Wong Chen dan Fuziah Salleh ketika bertemu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 13 September lalu.

Menurut Wong Chen, kesemua pihak bersetuju mengadakan sekurang-kurangnya satu lagi mesyuarat sebelum pembentangan Belanjawan 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober nanti.

“Keadilan (PKR) mengambil kedudukan untuk menjelaskan 12 dasar-dasar dan kemudian meminta kerajaan supaya mempertimbangkan kesemua cadangan dasar kami dan merangka peruntukan bajet bagi dasar-dasar tersebut dalam mesyuarat akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Senarai 12 cadangan dasar-dasar kerajaan termasuk mempercepat kelulusan permit pekerja asing untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan majikan pulih daripada pandemik.

Kerajaan perlu menangani isu kehilangan pembelajaran semasa pandemik oleh pelajar-pelajar.

Belanjawan 2023 juga perlu membantu industri pelancongan dengan pekerja dan modal, kerana industri ini boleh menjadi sumber pendapatan yang baik untuk membantu mempertahankan mata wang.

Dasar yang menjadi lebih mesra kepada penduduk asing yang membawa masuk modal, kemahiran dan penggunaan ekonomi yang sangat diperlukan.

Belanjawan yang dibentangkan juga perlu menangani masalah ketakjaminan makanan dengan memperkasakan petani dan nelayan, dan menambah baik logistik rantaian bekalan.

“Merancakkan TVET dan menangani masalah pengangguran yang telah berlarutan. Bersiap sedia sekarang bagi menghadapi banjir dan memperuntukkan dana yang besar untuk usaha menyelamat dan pemberian bantuan.

“Menambah baik Belanjawan Responsif Gender dan memastikan kementerian-kementerian mematuhi cara pelaporan,” katanya.

Memperuntukkan bajet dan membuat persiapan bagi meluluskan Akta Perkhidmatan Parlimen dan untuk memindahkan Kumpulan Wang Pembangunan Kawasan Parlimen (CDF) daripada Pejabat Perdana Menteri kepada Parlimen.

Belanjawan 2023 juga perlu bagi memastikan pelancaran penuh vaksin HPV untuk kanak-kanak perempuan di semua sekolah;

Menggalakkan lagi pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di semua peringkat kerajaan.

Memperuntukkan bajet yang mencukupi untuk memantau perubahan iklim dengan bagus dan bersiap sedia untuk perdagangan karbon. – MalaysiaGazette