Zazuli Johan

NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merekodkan rampasan terbesar tahun ini dengan penemuan 676 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM40.56 juta yang disembunyikan dalam mesin moulding industri .

Ketua Pengarah Kastam Datuk Zazuli Johan berkata, rampasan dilakukan ketika serbuan pasukan Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM terhadap satu kontena bersaiz 12.1 meter di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, Selangor pada 10 Sept lepas.

‚ÄúDalam serbuan itu dadah berkenaan ditemukan dalam bungkusan teh dibaluti aluminium dan disembunyikan dalam mesin moulding industri berkapasiti besar, yang kami percaya ini merupakan taktik terbaharu sindiket dadah untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kontena tersebut adalah untuk dieksport ke Australia, namun pihaknya masih menyiasat dari mana dadah itu diperolehi.

Menurut Zazuli, seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang merupakan wakil kepada pemilik kontena tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat tidak kurang 15 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

“Kami tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditahan dalam masa terdekat,” katanya. – BERNAMA