KUANTAN – Polis menafikan pihaknya menerima sebarang kes penemuan mayat bayi tanpa organ seperti yang ditular menerusi laman media sosial di daerah ini sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, penularan gambar lama itu sebenarnya pernah berlaku pada tahun 2011 lalu oleh individu tidak bertanggungjawab.
Tambahnya, perbuatan yang tidak bertanggungjawab itu sekali lagi mencetuskan panik kepada orang ramai apabila berita palsu itu tersebar.
Semalam tular gambar seorang bayi tanpa organ berhampiran pokok kelapa sawit dan rakaman audio oleh seorang lelaki yang mengatakan lokasi penemuan bayi tersebut di Batu 6, Kuantan.
“Isu gambar ini pernah disebarkan pada tahun 2011 dan tiada sebarang kejadian berhubung kes ini, masyarakat diingatkan supaya tidak mudah percaya kepada bahan sebarang yang tidak sahih.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab membuat sebaran paslu ini sekali gus telah menimbulkan kegusasaran masyarakat setempat.
“Memang tiada sebarang laporan polis diterima dan tidak ada kes sedmikian berlaku di daerah ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Jelasnya, perbuatan menyebarkan sebarang kandungan yang dilakukan oleh tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambah beliau, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu kerana ianya adalah kesalahan di bawah Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette