Barang rampasan daripada ketua Geng San Sentosa.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melumpuhkan kumpulan kongsi gelap, Geng San Sentosa selepas memberkas ketuanya.

Geng ini terlibat dalam aktiviti pemerasan, samun, penjaga premis perlombongan bitcoin haram, curi kenderaan dan pecah rumah di sekitar Klang, Selangor.

Setiausaha PDRM Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, kejayaan ini susulan penahanan dua lelaki warga tempatan ketika suspek hendak masuk ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis di Jalan Raja Musa, Pelabuhan Klang.

Tangkapan itu dibuat pada 14 September lalu oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Operasi Khas (D8), JSJ Bukit Aman.

“Pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan suspek tersebut  menjumpai sepucuk pistol jenis Revolver Single Action jenama Colt yang disorok di bawah tempat duduk pemandu.

“Hasil pemeriksaan di rumah suspek yang terletak di Jalan Bendahara Aman Mewah Ria Klang, pula berjaya membawa kepada penemuan sebutir peluru hidup jenis 9mm.

“Susulan siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek adalah ketua Geng San Sentosa  yang giat menjalankan aktiviti pemerasan, samun, penjaga premis perlombongan bitcoin haram, curi kenderaan dan pecah rumah,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Suspek didapati mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dengan kes senjata api serta curi kenderaan dan juga merupakan individu dikehendaki atau ‘wanted person’ berkait kes senjata api di Petaling Jaya pada 17 April lalu.

Katanya, terdahulu daripada ini, pihak polis juga telah berjaya menangkap ahli-ahli kongsi gelap dari geng yang sama dan merampas senjata api pada serbuan pertama pada 17 April lalu.

Dalam penahanan itu, dua lelaki ditangkap di Petaling Jaya dengan rampasan sepucuk
pistol.

“Manakala pada 15 Jun lalu pula, seorang lelaki lain telah ditangkap di Taman Sentosa, Klang dan rampasan sepucuk pistol jenis Revolver,  pada 13 September lalu pula, seorang lelaki warga tempatan ditangkap di kawasan Butterworth, Pulau Pinang dan sepucuk pistol berserta empat butir peluru hidup telah berjaya dirampas daripadanya.

“Jumlah keseluruhan tangkapan ahli kongsi gelap ini adalah seramai enam orang dan membabitkan rampasan empat pucuk pistol berserta lima butir peluru hidup dan semakan lanjut mendapati kesemua senjata api didapati tidak mempunyai sebarang lesen yang sah daripada PDRM,” ujarnya.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih berat) 1971 yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan juga hukuman sebat tidak kurang daripada tiga kali dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun.

Noorsiah berkata, pada awal tahun 2022, D9 JSJ Bukit Aman telah menubuhkan pasukan khas bagi mengesan pergerakan kumpulan ini dan mereka berjaya ditumpaskan. -MalaysiaGazette